Bismillahirrahmanirrahim....
كلّ شيءٍ هالك إلا وجهه له الحكم وإليه ترجعون - القصص:88
Hati insan dijadikan Allah untuk menanggung cinta yang tidak berkesudahan. Cinta yang tidak berkesudahan itu hanyalah cinta Allah yang bersifat baqa', kekal. Hati manusia terlalu luas dan luas. Apakah roh manusia ia lebih luas lagi.
Dia Yang Abadi!
Andaikan hati itu dibentang ia umpama padang pasir sahara yang luas tidak bertepi. Jika di padang pasir kering kontang dan tandus lalu kita menitiskan setitis air, apakah kesannya? Tentulah ia tidak memberi sebarang erti. Titisan air itu kering dan hilang begitu sahaja.
Begitulah hati manusia ini, ia terlalu luas. Ia dahagakan cinta iaitu cinta Allah. Namun manusia sering tertipu, manusia memasukkan segala jenis cinta lalu ia hanya ibarat titisan-titisan air di sahara kering lalu hilang. Hati manusia tidak akan puas, dunia tidak akan mampu mengenyangkan hatinya. Biarlah dia miliki harta dan kekayaan bergunung sekalipun, kecantikan dan kemewahan, pangkat dan nama, biarpun dia mencintai dan mengkagumi dirinya serta usia mudanya. Namun semua itu pasti akan hilang berlalu begitu sahaja.
Ketika dia begitu mencintai rumahnya, dia pasti membeli dan mencuba pelbagai perkara untuk mencantikkan rumahnya. Namun rumah itu akan rosak atau dia dahulu sampai ajal meninggalkan rumahnya. Begitu juga manusia yang mencintai kecantikan dan usia mudanya, dia akan melakukan pelbagai perkara untuk kekal cantik dan kelihatan muda. Namun, usia tetap akan berlalu. Masa muda akan hilang.
Manusia mencintai kekasihnya, ibu bapa dan ahli keluarga, sahabat handai dan teman taulan. Namun semua yang dia cintai akan pergi meninggalkan, lalu hati akan terluka dan pedih dengan perpisahan.
Penawar
Disebabkan hati insan itu hanya dijadikan untuk mencintai Allah, maka cinta manusia kepada selain Allah pasti akan mengecewakannya sendiri. Manusia akan menderita. Hatinya tidak pernah puas dan tidak pernah akan kenyang. Hati yang dijadikan hanya untuk mencintai Allah tetapi dimasukkan pelbagai cinta lain sudah pasti tidak berupaya memuaskan kehendak hati itu.
Justeru bagaimana? Bukankah kita terlalu banyak mencintai makhluk? Cinta pada suami dan isteri, anak-anak dan keluarga? Cintakan harta dan usia muda kita?
Usia muda kita tetap akan berlalu pergi meninggalkan kita. Sama ada kita belanjakan atau tidak. Jadi belanjakan usia muda itu ke jalan Allah, bekerja untuk agama Allah. Kelak Allah akan gantikan usia muda yang kekal dan tidak tua selama-lamanya di akhirat.
Harta dan wang, ia tetap akan habis sama ada kita belanja atau tidak, jadi belanjakan ke jalan Allah. Pasti harta itu kekal dalam simpanan di sisi Allah. Kelak Allah akan kembalikan malah harta digandakan lagi, tidak tergambar dengan kata-kata.
Isteri dan anak-anak tetap akan pergi meninggalkan kita apabila sampai ajalnya. Apa yang kita boleh lakukan didik lah dengan iman dan Islam. Kelak kita akan dihimpunkan bersama-sama di syurga ALlah tiada lagi perpisahan. Alangkah malang kalau kita terpisah seorang di syurga seorang di neraka, Nauzubillah.
Kita mencintai rumah kediaman kita. Tidak patut hanya menghias dan mencantikkan luar dan dalam rumah. Jadikan rumah kita tempat menuturkan kalam-kalam Allah, dibacakan hadith-hadith Baginda SAW, kita jadikan rumah kita tempat mendidik anak-anak dengan iman dan Islam, tempat berhimpun sanak saudara dan bersyukur, bukan hanya untuk bergelak ketawa. Kita jadikan rumah kita bayangan syurga tenang dan aman. Insya Allah di akhirat nanti Allah gantikan mahligai indah buat kita harmoni dengan alunan zikrullah para malaikat. Ameen..
Sekiranya kita sayang dan cinta kepada sesuatu jadikanlah ia cinta kerana Allah, ketahuilah setiap makhluk ada tarikh tamatnya. Bersedialah untuk kehilangan. Yang kekal hanya Allah. Namun, sekiranya setiap yang kita cintai itu kerana Allah, ia akan dikembalikan kepada kita dengan keadaan yang lebih istimewa lagi.
Apakah kita lakukan sekiranya kita ke supermarket dan melihat barang-barang, ada antaranya sudah "expired", sudah pasti kita tidak membeli barang itu, atau kita lihat tarikh tamatnya terlalu hampir, kita juga pasti meletakkan kembali. Begitulah dunia, semuanya ada tarikh tamat. Tidaklah perlu kita mencintai keterlaluan, melainkan cintailah kerana Allah. Kalau di supermarket, kita hanya membeli barang yang kita suka dan yang kita ingin gunakan dalam waktu tertentu. Kita tidak pula membeli kesemuanya sekali borong sampai habis. Begitulah juga dunia ini, ambillah sekadar keperluan hidup kita sahaja.
Bagaimana kalau kita lihat suami atau isteri kita, tarikh akhirnya mungkin esok atau lusa. Maka manfaatkan masa yang ada untuk Allah. Cintai dan kasihi kerana Allah.
Hati akan tenang, hati akan puas sekiranya dipenuhi cinta hanya kerana Allah. Biarpun mata dan hati menangis dengan kehilangan, namun kita pasti yakin tidak lama lagi ada pertemuan hakiki yang tidak berkesudahan.
Sekiranya cinta kerana Allah, Allah lah yang akan memelihara cinta itu. Allah itu pemilik cinta dan hanya Dia layak dicintai. Hanya Dia mampu memuaskan hati yang kering dan tandus dengan cinta.
هو الباقي، هو الأزلي الأبد، هو السرمدي، هو الدائم، هو المطلوب، هو المحبوب، هو المقصود، هو المعبود
Reference: halaman ke-3 (Kitab Ya Baqi Anta Al-Baqi)