Tokoh Sufi "Wanita Rabi`ah Al - `adawiyyah: Motivator Ke Arah Hidup Lebih Bermakna"

04 December 2010
RABI`AH DAN KONSEP TASAWUF SEBAGAI MOTIVASI
HIDUP INSAN

Tidak dapat dinafikan perbincangan tentang  konsep yang dipegang oleh Rabi`ah akan menunjangi konsep cinta Ilahi (mahabbah Allah)nya. Persoalan cinta Ilahi ditonjolkan oleh para sufi bukannya hanya dibibir saja dengan tasbih, tahmid dan takbir, malah ditonjolkan melalui penghayatannya dalam setiap gerak gerik mereka. 

Menurut al Imam Qushayri, cinta hampir tidak dapat di definisi dengan kata-kata, bahkan tidak dapat diungkap dengan nama-nama pengertian, tetapi cinta ini hanya dapat dirasai karena cinta sejati tidak memerlukan ungkapan. Meskipun tidak dapat diungkap, namun menurut al-Qushayri lagi cinta Ilahi ditandai beberapa perkara Yaitu kejernihan hati dengan cinta kasih, kecenderungan abadi yang menusuk kalbu orang yang sangat mencintai mendahulukan Tuhan yang dicintai daripada diri sendiri kesetiaan tidak berbelah bagi pada Tuhan yang dicintai kesepakatan hati dengan kehendak-kehendak Tuhan yang dicintai,  menggapai ketaatan dan menentang kederhakaan, memuji-muji sifat indah yang dimiliki Tuhan yang dicintai dan melupakan sifat-sifatnya sendiri.

memberi sesuatu kepada Tuhan yang dicintai tanpa bersisa, menghapus ingatan kecuali kepada Tuhan yang dicintai, merasa cemburu dan membuat orang yang mencintai mabuk kepayang. Atau dengan kata lain cinta Ilahi akan membawa seseorang redha yaitu memberikan ketaatan tanpa disertai sebarang penyangkalan, shawq yaitu kerinduan yang mendalam untuk bertemu Tuhannya, dan Uns yaitu mempunyai hubungan spiritual yang intim yang terjalin antara orang yang mencintai dengan Tuhannya.

Rabi`ah dalam menjalani proses Cinta Ilahinya memiliki tanda-tanda yang dinyatakan oleh al-Qushayri tersebut sehingga beliau akhirnya disebutkan sebagai tokoh sufi pertama dan pengagas yang mengalunkan konsep cinta Ilahi tanpa mengharapkan balasan, tetapi mengungkapkan rasa kecintaannya dalam latihan kerohanian, syair-syair dan juga prosa-prosanya.

Namun begitu Rabi`ah berkata: 
“Tidak ada perantaraan antara orang yang mencintai dengan orang yang dicintainya, Cinta berbicara dengan rindu dan perasaan. Hanya orang yang merasakan cinta saja yang dapat mengenal apa itu cinta kerana cinta tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Cinta itu sendiri yang mampu menjelaskan dirinya''. 

Katanya lagi: 
Cinta Ilahi Rabi`ah yang tinggi dapat dilihatkan melalui anekdotnya, umpamanya beliau pernah berkata:
“Wahai Tuhanku, jika aku menyembahMu kerana takut kepada nerakaMu, maka bakarlah aku dengannya. Jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, maka keluarkanlah aku darinya. Tetapi sekiranya aku menyembahMu semata-mata kerana cintaku kepadaMu, maka janganlah Engkau menutup keindahan wajahMu yang abadi dari pandanganku.”

Apabila ditanya tentang hakikat imannya, Rabi`ah menjawab kepada Sufyan al-Thawri:  
“Aku bukan menyembahNya kerana takutkan nerakaNya dan bukan pula kerana inginkan syurgaNya sehingga sikapku tidak ubah seperti seorang penerima upah yang jahat. Tetapi aku menyembahNya adalah semata-mata kerana cinta dan rinduku kepadaNya.”  

Jelas dapat dilihat penghayatan cinta Ilahi Rabi`ah yang mencintai Allah dengan sepenuh raganya sehingga tidak meletakkan kehendak manusia biasa untuk memasuki syurga dan menghindari neraka sebagai matlamat ibadahnya, tetapi menjadikan cinta kasihnya kepada Allah sebagai lambang kesungguhan penyerahan dirinya kepada Allah. Cinta ini jugalah yang menyebabkan Rabi`ah sering menolak untuk berkawin kerana beliau mau membebaskan diri dan hatinya daripada mencintai makhluk Allah kerana cintanya yang tulus suci kepadaNya. Katanya:
“Perkahwinan itu penting bagi orang yang mempunyai pilihan. Tetapi aku tidak mempunyai pilihan kerana aku sudah bernazar dan menetapkan untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.. aku telah memutuskan untuk hidup di bawah perintah-perintahNya.” 

Cinta luar biasa yang dialami Rabi`ah menggambarkan cinta Ilahi kerana mengharapkan atau perasaan takutkan pembalasanNya bukanlah cinta yang ikhlas dan sebenarnya. Oleh itu Rabi`ah pernah berkata:
“Akan aku nyalakan api di syurga dan aku simbahkan air di neraka supaya kedua-dua halangan ini dapat dihilangkan daripada orang-orang yang menuju ke jalan Allah SWT. dan akan menjelaskan lagi tujuan mereka lalu mereka dapat melihat Allah SWT. tanpa sesuatu yang menyebabkan mereka mengharap dan merasa takut. Sekiranya tidak ada syurga dan neraka, masih adakah orang yang menyembah dan mentaati Allah SWT.”

Kecintaan Rabi`ah terhadap Allah juga diungkapkan melalui bait-bait syairnya yang indah dan berkesan, antaranya beliau pernah mengalunkan:

Aku mencintaiMu dengan dua cinta
Cinta kerana diriku dan cinta kerana diriMu
Cinta kerana diriku dalam keadaan sentiasa mengingatiMu
Cintaku kerana diriMu
Agar Engkau bukakan hijab bagiku
Membolehkan agar aku dapat melihat Engkau


Tuhanku, tenggelamkanlah aku dalam cintaMu
Sehingga tidak ada sesuatu pun yang dapat menggangguku
Ketika bersamaMu
Tuhanku, bintang-bintang di langit berkelip gemerlapan
Manusia telah terlena dibuai keasyikan
Pintu-pintu istana telah tertutup rapat
Pada saat itulah semua pencinta
Menyendiri bersama yang dicintainya

Tuhanku, inilah aku berada di hadratMu
Ketika malam kian berlalu
Siang hampir menjelang
Aku rasa gelisah
Apakah amalanku Engkau terima
Hingga aku merasa bahagia
Atau Engkau tolak
Hingga aku merasa sedih

Demi kekuasaanMu
Inilah yang sering aku lakukan
Selama Engkau memberi hayat kepadaku
Sekiranya Engkau usir aku dari depan pintuMu
Aku tidak akan pergi
Akibat cintaku padaMu
Telah memenuhi seluruh jiwaku


Referensi Catatan:
Margaret Smith (2000), op.cit., h. 97.`Abd al-Mun`im Qindil (1997), Rabi`ah al-Adawiyah Dan Cinta, (trj.) Mohd, Taha `Abd al-Baqi Surur (1954), op. cit., h. 101.`Abd al-Mun`im Qindil (1997), op. cit., h. 158.Taha `Abd al-Baqi Surur (1954), op.cit., h. 57; Abu al-Wafa al-Ghanimi al-Taftazani (1979), Madkhal ila al-Tasawwuf al-Islami, Kaherah: Dar al-Thaqafah lial-Tiba`ah wa al-Nashr, h. 87 Mustafa `Abd al-Raziq (1984), op.cit. , al-Risalah al-Qushayriyyah, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi, h.319-320.

ShareThis